RM43,200.00 BIASISWA DIAGIHKAN KEPADA PELAJAR ASNAF

KOTA SETAR, 16 JANUARI 2018 – Seramai 12 orang pelajar meliputi 5 buah Sekolah Agama di seluruh negeri Kedah telah terpilih bagi menerima Bantuan Biasiswa daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Terdahulu, Ketua Jabatan Agihan (LZNK) Ustaz Hamidi Mohd Nor, telah menyerahkan replika cek tersebut dengan jumlah RM 43,200.00 kepada Haji Idris Mahmud, Pengetua Sekolah Menengah Sains Tahfiz Alor Setar, Kedah.

Menurut Ustaz Hamidi, setiap pelajar yang terpilih menerima biasiswa ini akan diberikan sebulan RM 300.00 bagi menampung kos yuran dan sara hidup para pelajar yang kurang berkemampuan.

Ustaz Hamidi Mohd Nor, berkata, kesemua mereka terdiri daripada pelajar cemerlang dan tergolong dalam kalangan asnaf.

-zakat kedah-
-350 tahun seruan berzakat-

“TEMUI ASNAF, HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 88 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

Sebarkan !!

(LZNK) LANTIK 571 PENOLONG AMIL

KOTA SETAR, 16 JANUARI 2018 – Seramai 571 penolong amil dilantik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di seluruh Kedah dalam usaha menambah baik proses agihan bantuan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, pelantikan berkenaan melibatkan pegawai masjid terpilih untuk membantu urusan berkaitan bantuan zakat.

“Selepas ini, penolong amil ini akan membantu zakat dalam soal agihan borang bantuan di kariah masing-masing, sekaligus mendekati golongan sasar.

“Dengan ini, orang awam tidak lagi perlu menghantar borang bantuan kepada Pejabat Zakat Daerah berdekatan, sebaliknya berurusan dengan imam sahaja,” katanya.

Katanya, pelantikan penolong amil berkenaan akan membantu Zakat Kedah mengesan dan mengenal pasti asnaf lebih tepat, serta mengelakkkan keciciran penerima yang layak.

“Malah, proses agihan bantuan kepada asnaf menjadi lebih mudah dan cepat kerana penolong amil merupakan individu yang dekat dengan masyarakat di kariah mereka,” katanya.

Manakala, Adun Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, pelantikan penolong amil dari kalangan pegawai masjid dilihat mampu mengembalikan fungsi masjid sebagai pusat kegiatan komuniti.

“Institusi masjid amat dekat dengan masyarakat, boleh dikatakan 24 jam. Melalui pelantikan itu, kita dapat penolong amil dapat membantu mengesan asnaf, sekaligus membela nasib orang miskin,” katanya.

Menurut Imam Masjid Derga, Abdul Hadi Awang, dia menyambut baik pelantikan sebagai penolong amil dan tawaran menjadi ejen zakat.

Katanya, walaupun selepas ini tanggungjawab pihak masjid makin besar, bagaimanapun ia mampu menarik dan mendekatkan lagi masyarakat dengan masjid.

-zakat kedah-
-350 tahun seruan berzakat-

“TEMUI ASNAF, HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 88 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

Sebarkan !!

(LZNK) PERKENAL BANTUAN SET KAIN KAFAN

KOTA SETAR, 16 JANUARI 2018 –  Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperkenalkan bantuan set kain kapan bagi memudahkan pengurusan jenazah golongan tidak berkemampuan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, skim penyediaan kain kapan berkenaan akan dilancarkan bermula Februari depan.

“Kita mengambil inisiatif memperkenalkan skim bantuan terbaharu demi memudahkan dan memastikan proses pengurusan jenazah dipercepatkan.

“Kita ada dapat maklumat keluarga miskin berdepan kesukaran untuk menguruskan jenazah ahli keluarga akibat tidak cukup wang,” katanya ditemui selepas Majlis Pelantikan Penolong Amil daerah Kota Setar dan Kubang Pasu di sebuah hotel, semalam.

Turut hadir, Ahli Lembaga (LZNK), Syeikh Ahmad Faisol Omar dan Ketua Jabatan Agihan (LZNK), Hamidi Mohd Nor.

“Bagi orang miskin nak sediakan wang sehingga RM800 untuk uruskan jenazah bukan perkara mudah. Benda ini boleh jadi bebanan bagi mereka,” katanya.

Disebabkan itu, urusan pengebumian sebilangan keluarga miskin mengalami kelewatan disebabkan tidak berkemampuan untuk membeli barang kelengkapan diperlukan, seperti kain kapan.

Untuk itu, beliau berkata, LZNK mengambil usaha berkenaan LZNK demi meringankan beban dan tanggungjawab orang miskin berhubung kos urus jenazah.

Zakaria berkata, LZNK akan menyediakan tiga set kain kapan untuk diagihkan ke setiap masjid, manakala 10 set kain kapan di hospital di seluruh Kedah.

“Apabila habis stok kain kapan sedia ada, pihak Zakat Kedah akan menambah bilangan kain kapan itu demi membolehkan orang miskin menguruskan jenazah ahli keluarga segera,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya memuji tindakan sesetengah masjid yang terlebih dahulu mengambil langkah menyediakan kain kapan untuk pengurusan jenazah.

Zakaria berkata, beliau berharap dengan adanya bantuan set kain kapan diperkenalkan LZNK, ia akan membantu memudahkan lagi proses pengurusan jenazah.

-zakat kedah-
-350 tahun seruan berzakat-

“TEMUI ASNAF, HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 88 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

Sebarkan !!

TABAH MENJAGA 2 ADIK IPAR (OKU)

KULIM, 16 JANUARI 2018 – Kehidupan Mohamat Sukeri Abu Bakar bagaikan ‘Ada Nyawa, Ada Rezeki’ begitulah perumpamaan yang dapat digambarkan dengan kehidupan seharian yang beliau tempuhi.

Beliau yang tinggal di Kampung Baru Lubuk Gajah, Mahang, mempunyai 6 orang tanggungan. Beliau kini hanya mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung untuk menampung kos perbelanjaan beliau bagi menyara keluarganya dengan memperoleh pendapatan sekitar RM 600 sebulan.

Namun begitu beliau tetap tabah dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebagai ketua keluarga bagi menanggung 2 orang adik iparnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), selain itu kedua-dua adik iparnya mempunyai masalah kesihatan yang sangat kronik selepas disahkan menghidap penyakit 3 serangkai (hipertensi, diabetis dan kegagalan buah pinggang) manakala seorang lagi pula menghidap kanser hati tahap 4. Hal demikian menyebabkan kedua adik iparnya kini terpaksa menjalani beberapa rawatan susulan di Hopital Kulim dan Pulau Pinang.

Namun begitu, nasib yang ditanggung Mohamat Sukeri mendapat perhatian daripada Pejabat Zakat Daerah Kulim (PZDK) apabila wakilnya Ustaz Mohd Fauzi Yusof tampil bagi melihat dan menyelami masalah yang dihadapi oleh keluarga tersebut.

Dalam pada itu, Ustaz Mohd Fauzi juga berkata, pihaknya akan mempertimbangkan bantuan yang sewarnya untuk disalurkan kepada keluarga tersebut bagi mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh Mohamat Sukeri sekeluarga.

-zakat kedah-
-350 tahun seruan berzakat-

“TEMUI ASNAF, HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 88 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

Sebarkan !!

SHAHRUDIN AWANG GEMBIRA DIBANTU ZAKAT

PENDANG, 16 JANUARI 2018 –  Pejabat Zakat Daerah Pendang (PZDP) berkesempatan turun padang bagi menziarahi keluarga Shahrudin Awang Kechik yang tinggal di Kampung Lahar Batu, Pendang Kedah.

Dalam ziarah yang dijalankan tersebut, terpancar kegembiraan di wajah beliau apabila melihat wakil Pejabat Zakat Daerah Pendang, Ustaz Zulkifli Che Din bertandang kerumahnya bagi melihat dan menyelami sendiri kehidupan beliau. Beliau bekerja sendiri dengan menjual pakaian terpakai bagi menyara isteri serta 4 orang anaknya yang masih bersekolah.

Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang penerima bantuan zakat di bawah skim baik pulih rumah.

Dalam pada itu, beliau juga turut menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat lumpuh sejak hampir 8 tahun lalu.

Dalam masa yang sama, sebanyak 5 buah rumah telah dilawati semalam yang melibatkan Kampung Lahar Batu, Kampung Paya Kerchut dan Kampung Sawa. Rata-rata penerima bantuan zakat semasa dilawati oleh wakil (PZDP) turut melahirkan rasa syukur dan gembira dengan bantuan yang disalurkan ini.

-zakat kedah-
-350 tahun seruan berzakat-

“TEMUI ASNAF, HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 88 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

Sebarkan !!

(PZD) SIK JALIN HUBUNGAN DUA HALA DENGAN HOSPITAL SIK

SIK, 16 JANUARI 2018 – Pejabat Zakat Daerah Sik (PZDS) telah mengadakan satu pertemuan dua hala dengan Pihak Hospital Sik bagi membincangkan tentang hal-hal berkaitan taklimat zakat, pesakit asnaf miskin, pesakit buah pinggang,kemudahan dialisis, klinik zakat dan banyak lagi.

Kunjungan hormat tersebut telah disambut mesra oleh kakitangan daripada Hospital Sik.

Dalam pertemuan yang diadakan secara ringkas itu, Pegawai Zakat Daerah Sik, Ustaz Khairul Nizam telah membincangan beberapa perkara dan isu mengenai zakat dan antara perkara yang telah dipersetujui bersama adalah pengenalan skim wakalah agihan balik zakat kepada pihak hospital.

Tambahan pula, pihak Hospital dan Zakat Sik mempunyai pelanggan yang sama kerana kebanyakan pesakit kronik di hospital tersebut juga merupakan asnaf miskin dan penerima bantuan daripada zakat Kedah.

Semoga dengan hubungan kerjasama yang terjalin antara (PZD) Sik dan juga Hospital Sik ini dapat memantapkan lagi struktur gerak kerja dalam mengenal pasti dan membantu asnaf-asnaf yang memerlukan bantuan di daerah itu.

-zakat kedah-
-350 tahun seruan berzakat-

“TEMUI ASNAF, HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 88 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

Sebarkan !!

PRIHATIN KISAH HIDUP IBU TUNGGAL

KUBANG PASU, 16 JANUARI 2018 – Malam berselimut embun, siang bertudung awan begitulah perumpamaan yang dapat digambarkan kehidupan seorang ibu tunggal Ku Roslina Ku Meh yang tinggal di Kampung Seri Indera Pida 2, Jalan Sanglang Kodiang Kedah.

Beliau kini hidup bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selepas suaminya meninggal dunia akibat serangan stroke, beliau kini terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi menyara 6 orang anaknya yang 4 daripadanya masih lagi bersekolah.

Ku Roslina kini memperoleh sumber pendapatan dengan mengambil upah menjahit baju bagi menapung kos sarahidup yang ditanggung beliau seharian. Beliau juga turut berkongsi masalah kekangan kewangan yang dihadapi oleh beliau semasa hayat suaminya masih ada, akibat kesulitan yang melanda beliau tidak dapat membeli ubat-ubatan suaminya, selain itu  bil eletrik dan air rumahnya juga tertungak dan tidak mampu untuk dibayar.

Prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga tersebut, wakil (PZD) Kubang Pasu tampil bagi menyelami dan melihat sendiri keadaan beliau, dalam pada itu juga pihak (PZDKP) berkata, pihaknya akan mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya untuk disalurkan kepada Ku Roslina sekeluarga bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mereka.

-zakat kedah-
-350 tahun seruan berzakat-

“TEMUI ASNAF, HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 88 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

Sebarkan !!

RM 138,320.99 AGIHAN BALIK KEPADA (PPD) LANGKAWI

LANGKAWI, 16 JANUARI 2018 – Pejabat Zakat Daerah Langkawi (PZDL) telah mengadakan satu majlis penyerahan agihan balik zakat berjumlah RM 138,320.99 kepada sekolah-sekolah daerah Langkawi. Penyerahan tersebut telah disampaikan sendiri oleh, Pegawai Zakat Daerah Langkawi, Ustaz Yusof Ahmad kepada Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Halid Ali bertempat di Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi (PPD).

Dalam pada itu,Ustaz Yusof berkata, kepada semua agensi dan syarikat yang menunaikan zakat perlulah membuat pengiraan zakat mengikut taksiran yang tepat, selain itu mereka juga berpeluang mendapat agihan balik untuk diagihkan kepada mereka dan sesiapa sahaja yang berkelayakan.

Selain itu, majlis ini juga memberi suntikan semangat kepada kakitangan sekolah untuk membantu hal ehwal pendidikan anak asnaf melalui potongan zakat yang dilakukan oleh mereka.

Hadir sama pada majlis tersebut, semua Guru Besar sekolah daerah Langkawi serta kakitangan dari (PZD) Langkawi.

-zakat kedah-
-350 tahun seruan berzakat-

“TEMUI ASNAF, HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 88 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

Sebarkan !!

 

PONDOK MODEN ZAKAT PERINTIS ULAMAK KEDAH

Sahibus Samahah Dato’ Syeikh Fadzil Awang, Mufti Negeri Kedah, berkongsikan kisah beliau dalam satu majlis di Pondok Moden Al-Abaqirah MAIWP kisah yang berkisarkan tentang bagaimana sistem pondok banyak membina dan membentuk beliau satu ketika dahulu sehingga kini beliau masih terasa kesannya.

Ketika umur belasan tahun beliau menghabiskan 6 tahun di Pondok Pasir Tumbuh Kelantan. Atas usaha beliau sendiri mendaftarkan diri sebagai calon SRP dan SPM walaupun di pondok tiada sistem akademik (SRP&SPM).

Bangun seawal pagi dan tidur jam 12.00 malam dilatih sepanjang 6 tahun di pondok yang pernah diduduki beliau suatu ketika dulu. Penekan nahu sorof dan sistem mutholaah oleh Tok Guru di Pondok menyebabkan Allah mudahkan urusan beliau mendalami pembelajaran dalam masa 4 tahun di Mesir. Tok Guru bukan hanya minta baca kitab dengan baris yang betul bahkan akan disoal sebab dan punca dibaca baris tersebut.

Dipondok pasir tumbuh beliau menjadi tempat rujukan oleh kawan² yang lain disebabkan beliau orang yang suka mengkaji dan mencari pandangan² ulama dalam kitab²..sehingga ada orang xpercaya beliau mampu memiliki dan mendalami Kita Iqna’ (Kitab Fekah) ketika usia belasan tahun.

Besarlah harapan beliau supaya Pondok Moden Kedah dapat direalisasikan untuk melahirkan ulama’ Faqeh sebagai pelapis masa hadapan.

-zakat kedah-
-350 tahun seruan berzakat-

“TEMUI ASNAF, HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 88 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

Sebarkan !!

RUMAH BERDINDINGKAN BULUH

KULIM, 15 JANUARI 2018 – Pegawai Zakat Daerah Kulim (PZDK), Ustaz Mohd Khairi Ishak bersama kontraktor turun padang bagi melakukan lawatan tapak projek di bawah Skim Bantuan Baik pulih rumah Individu daerah Kulim. Dua buah tapak telah dilawati dan mendapati kedua-dua projek ini telah berjaya disiapkan dan mampu memberikan manfaat kepada keluarga asnaf tersebut.

Keluarga Che Mee Ishak yang sebelum ini tinggal di dalam sebuah rumah berdindingkan buluh sudah mampu menarik nafas lega kerana pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah meluluskan bantuan kepada beliau sekeluarga.

Sebagai ketua keluarga yang hanya mencari sumber pendapatan sebagai buruh kampung terpaksa bergantung harap dengan pendapatan anaknya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menampung perbelanjaan mereka enam beranak, bantuan yang diterima ini sememangnya mampu mengubah nasib mereka sekeluarga.

Moga dengan bantuan yang disalurkan ini hasil wang zakat yang telah diamanahkan kepada pihak LZNK ini mampu membantu mereka sekeluarga dimasa kini dan masa hadapan.

-zakat kedah-
-350 tahun seruan berzakat-

“TEMUI ASNAF, HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 88 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

Sebarkan !!